Saturday, January 9, 2010

Pemantauan Dan Penguatkuasaan Bersepadu Tetap Diteruskan Sepanjang Tahun 2009









Pemantauan berterusan bersama Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri (JAIN) diteruskan sepanjang tahun 2009 bagi membanteras penjualan buku-buku dan terbitan haram serta meragukan.

Bahagian Penyelidikan Jakim yang mengetuai sepanjang pemantauan tersebut dengan disertai oleh Bahagian Penerbitan dan Teks Al-Quran, KDN dan JAIN yang mempunyai kuasa mengambil tindakan sewajarnya terhadap pengedar dan penerbit yang engkar dan masih menjalankan aktiviti-aktiviti penjualan bahan-bahan gunaan serta terbitan yang tidak mengikut prosedur yang telah ditentukan.

Sepanjang tahun 2009 sahaja Jakim, KDN serta JAIN terlibat selesai melaksanakannya di seluruh Negara termasuk Sabah dan Sarawak. Kali terakhir pemantauan diadakan di Negeri Sembilan, Perak dan Kelantan. Menurut Pengarah Bahagian Penyelidikan, Jakim Tuan Hj Razali Shahabudin pemantauan pada tahun ini adalah untuk meninjau buku-buku yang telah diharamkan agar tidak berada dipasaran disamping memberi nasihat kepada penerbit dan pengedar agar mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan oleh Jakim, KDN dan JAIN.

Beliau yang beberapa kali turut serta dalam pemantauan tersebut terutama perjumpaan dengan KDN Negeri-Negeri dan JAIN berpuas hati dengan kerjasama yang diberikan oleh kedua-dua agensi berkenaan termasuklah KDN ibu pejabat. Banyak perkara-perkara baru dapat dipelajari ketiga-tiga agensi berkenaan kerana masing-masing mendapat beberapa pengalaman serta dapat bertukar-tukar idea dalam usaha membanteras isu penjualan bahan-bahan terbitan yang diharamkan serta meragukan di Negara ini

Beliau seterusnya mencadangkan agar usaha-usaha ini diteruskan lagi pada tahun-tahun hadapan. Disamping itu ditambah lagi dengan majlis-majlis taklimat bersama dengan KDN, PDRM, SKMM dan JAIN kepada penerbit dan pengedar-pengedar buku dinegeri-negeri yang dihadiri sebagai usaha memberi kefahaman yang berterusan kepada mereka yang terlibat.

Cawangan Kawalan Media, Bahagian Penyelidikan Jakim yang diamanah sebagai penyelaras kepada program pemantauan tersebut akan meneruskan usaha-usaha penguatkuasaan disemua lokasi di seluruh Negara termasuk Perpustakaan Awam Negara dan Negeri dan juga Perpustakaan Universiti-Universiti. Menurut Ketua Penolong Pengarahnya, Tuan Hj Abdullah Abd Rahman disamping dapat menjalin hubungan ‘Net Working” antara agensi seperti KDN, PDRM, SKMM dan JAIN banyak perkara lain boleh dilaksanakan terutama dalam usaha menyelesaikan semua bentuk isu-isu berkaitan penerbitan termasuklah laman sesawang dan sebagainya dalam masa yang singkat dan berkesan. Ianya juga sebagai memenuhi harapan YBhg. Dato’ Ketua Pengarah, Jakim agar sentiasa menjalinkan hubungan dengan agensi lain yang boleh membantu Jakim.

Tinjauan mendapati maklum balas penerbit dan pengedar berpuas hati dengan usaha bersepadu yang dilaksanakan oleh ketiga-tiga agensi disamping sokongan dari beberapa agensi yang lain yang berkaitan. Sebelum ini mereka tidak tahu dengan prosedur-prosedur tersebut dan berharap setiap buku-buku atau bahan-bahan yang diharamkan dapat dimaklumkan segera kepada mereka.